BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengerahkan aset tambahan ke Laut Hitam susulan beberapa siri serangan dron di perairan Romania dan Bulgaria dalam perkembangan terbaharu perang Russia-Ukraine.
Jurucakap NATO, Allison Hart, berdasarkan kenyataan yang disiarkan dalam talian semalam, mengesahkan pakatan itu akan menghantar aset tambahan ke rantau berkenaan.
"NATO akan menghantar aset tambahan ke rantau ini termasuk sokongan bagi pemantauan, peninjauan dan forensik.
"Kami akan terus bersatu dan memastikan kami bersedia serta berupaya menangani sebarang ancaman demi menjamin keselamatan satu bilion penduduk kami," katanya selepas mesyuarat duta negara anggota pakatan itu di Brussels.










