Florida: Seorang lelaki berusia 40 tahun yang pernah menjalani hukuman penjara selama 10 tahun kerana merompak bank dengan menyamar sebagai warga emas ditahan semula selepas didakwa mengulangi jenayah sama dengan penyamaran serupa, sedekad kemudian.

David Sartin Jr dari St Petersburg, ditahan pihak berkuasa persekutuan kerana disyaki merompak dua bank di Florida awal tahun ini dengan memakai topeng prostetik menyerupai 'lelaki tua', menurut Pejabat Pendakwa Raya Amerika Syarikat (AS) bagi Daerah Tengah Florida, lapor The Standard.

Sartin didakwa merompak sebuah bank di Largo pada 24 Ogos dan sebuah lagi bank di bandar kelahirannya pada 15 September, menurut dokumen aduan jenayah.

Dalam kedua-dua kejadian, Sartin didakwa menghampiri kaunter juruwang dengan memakai penyamaran 'lelaki tua' sebelum meminta wang tunai tanpa pek pewarna keselamatan.