KANGAR: Pesawah mendakwa subsidi benih padi berjumlah RM20.60 tidak banyak membantu selepas mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri membeli benih dengan harga mencecah RM56 hingga RM65 sekampit.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, kenaikan harga benih padi tersebut menyebabkan kos pesawah meningkat antara RM35 sehingga RM45.

Katanya, harga berkenaan sangat membebankan pesawah dan beliau turut difahamkan di sesetengah kawasan harga melonjak lebih tinggi.

Ujarnya, kenaikan harga benih padi secara berterusan itu sekali gus menenggelamkan nilai subsidi yang disalurkan oleh kerajaan.