Bangi: Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini masih dianggap sihat walaupun lebih perlahan berbanding enam peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kadar pertumbuhan itu masih melebihi paras pertumbuhan trend ekonomi negara yang dianggarkan sekitar 4.7 peratus.
"Kalau kita bandingkan 5.3 peratus dengan enam peratus pada suku kedua, memang kita akan kata ia perlahan. Tetapi untuk ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan 5.3 peratus, itu dianggap sihat," katanya ketika ditemui pemberita selepas program 'Belanjawan 2027: Menjaga Poket Rakyat, Mengukuh Kantung Negara' di sini, hari ini.








