KEJAYAAN meraih emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 memberi suntikan keyakinan buat atlet karate negara, Adeola Fay Robert untuk meneruskan momentum positif menjelang penampilan sulungnya pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 Disember ini.
Adeola berkata, tumpuannya kini adalah memperkemaskan prestasi menerusi latihan berterusan, selain memperbaiki kelemahan yang masih ada bagi memastikan dirinya tampil lebih bersedia menghadapi kejohanan seterusnya.
“Selepas ini saya akan teruskan latihan juga sebab banyak perlu diperbaiki lagi, banyak saya perlu tingkatkan untuk kejohanan akan datang iaitu Sukan Universiti ASEAN,” katanya.
Lebih bermakna, AUG kali ini bakal menjadi pengalaman pertama buat atlet itu, sekali gus membuka peluang untuknya menguji kemampuan dalam kejohanan berbeza selepas mencipta kejayaan di pentas Asia.









