SEAWAL usia 14 tahun, Muhammad Faridz Agustian Akbar Lukman sudah didedahkan dengan ilmu membuat binaan seperti mengikat batu, membancuh simen dan membengkokkan besi.

Menurut jejaka berusia 23 tahun itu, sejak kecil dia sudah dibawa oleh bapanya yang merupakan subkontraktor untuk melihat sendiri kerja-kerja pembangunan binaan di lapangan.

“Sejak itu, minat dalam bidang pembinaan telah tumbuh dan saya tekad mahu mengikuti jejak langkah bapa dalam bidang ini lebih-lebih lagi saya merupakan anak sulung.

“Sehubungan itu, bagi memastikan legasi ini diteruskan, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya menyambung pengajian Diploma Ukur Bahan di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak,” katanya.