KUANTAN – Kebakaran hutan yang mengakibatkan negara diselubungi jerebu secara berterusan dikhuatiri menjejaskan industri durian ekoran asap tanah gambut yang memenuhi ruang udara mengandungi pelbagai sebatian negatif yang memberi kesan kepada pokok.
Antara sebatian yang terhasil termasuk campuran abu kasar, jelaga, zarah halus, karbon monoksida, oksida nitrogen, sebatian sulfur dan sebatian organik meruap.
Segala ‘racun’ terapung itu berisiko memberi pelbagai kesan kepada pokok durian termasuk mengubah iklim mikro dusun, permukaan daun, imbangan karbohidrat, kesukaran pembiakan, daya hidup bunga, prestasi debunga, pembentukan, bentuk dan keguguran buah serta kimia tanah.
Sekiranya ia tidak dibendung, statistik nisbah sara diri durian Malaysia yang mencapai 103.7 peratus pada 2024 dikhuatiri akan menjunam.








