Konstanz (Jerman): Sebuah mahkamah di Jerman menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun sembilan bulan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun yang menyamar sebagai doktor dan memberikan rawatan kepada pelanggan ratusan kali di sebuah klinik kecantikan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mahkamah Wilayah Konstanz memutuskan pada Isnin bahawa lelaki itu terbukti memperoleh pekerjaan di klinik kecantikan di Konstanz menggunakan sijil dan lesen perubatan palsu.

Dia disabitkan atas kesalahan pemalsuan dokumen, penyalahgunaan gelaran profesional, menyebabkan kecederaan tubuh badan berbahaya dan penipuan.

Menurut dapatan mahkamah, lelaki yang terlatih sebagai paramedik itu melakukan 466 suntikan Botox dan asid hialuronik terhadap pelanggan antara awal Mac hingga pertengahan April.