IPOH: Polis telah merakam keterangan sembilan individu bagi membantu siasatan membabitkan pengetua sebuah sekolah di Bagan Datuk yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, antara individu yang dirakam keterangan ialah pengetua berusia 56 tahun itu yang merupakan seorang penjawat awam.
Katanya, siasatan kes itu dijalankan susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu remaja terbabit pada 24 Oktober lalu.
“Setakat ini seramai sembilan orang telah dirakam percakapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.









