PETALING JAYA: Sasaran pertumbuhan ekonomi tujuh peratus setahun bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4) tidak akan membawa makna sekiranya masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air bersih, terus membelenggu negeri-negeri berkenaan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan RM723.75 bilion menjelang 2050 yang diketengahkan pada SG4 Business & Economic Forum 2026 perlu disusuli perancangan berdaya maju, peningkatan produktiviti serta pelaksanaan projek dan pelaburan secara berkesan.

Beliau berkata, semua pihak tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa sekiranya mahu merealisasikan sasaran pertumbuhan itu, sebaliknya perlu menilai keupayaan sebenar pelaksanaan pembangunan di wilayah berkenaan.