KUALA LUMPUR: Lebih 27,200 kenderaan jenis jip dan pikap mendapat manfaat subsidi diesel menerusi penggunaan kad subsidi bahan api di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah tersebut setakat 26 Oktober lalu di mana kemudahan itu diperluaskan termasuk perusahaan kecil, bagi membolehkan golongan berkenaan menikmati manfaat subsidi berkenaan.

“Kerajaan memperkenalkan kelayakan tambahan ini dengan mengambil kira kenderaan jenis ini sering digunakan sebagai kenderaan utama, terutama di Sabah dan Sarawak.

“Ini termasuk untuk membawa hasil pertanian, barangan perniagaan kecil, urusan pekerjaan serta perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang mempunyai bentuk muka bumi lebih mencabar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.