Kuala Lumpur: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap diperintah menjalankan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas mengaku salah mencederakan dua remaja menggunakan batang besi.

Tertuduh yang tidak boleh didedahkan identitinya atas faktor umur itu turut diperintah menghadiri Bengkel Interaktif dalam tempoh yang sama.

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili remaja berkenaan memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh bertindak sedemikian selepas diejek, selain sudah menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa tidak membantah perintah khidmat masyarakat berkenaan, namun memohon supaya syarat yang ditetapkan dilaksanakan secara berasingan.