KAPIT: Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ditemukan tertimbus dalam tanah berhampiran sebuah rumah sewa di Jalan Airport, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Rohana Nanu, berkata bayi yang baru dilahirkan itu ditemukan anggota polis selepas terdengar tangisannya ketika menjalankan pencarian di lokasi berkenaan.

"Polis menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam. Pada waktu itu, anggota terdengar tangisan bayi sebelum melakukan pencarian dan menemukannya tertimbus dalam tanah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rohana berkata, bayi yang berada dalam keadaan kritikal itu dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan ibunya juga sudah dikenal pasti, namun siasatan belum dilakukan kerana dia sedang dirawat.