ALOR SETAR: Sebuah premis makanan di daerah Kulim yang beroperasi menerusi platform penghantaran makanan dalam talian diarahkan tutup selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya hanya 37.5 peratus.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan Isnin lalu dijalankan susulan aduan tular di media sosial berhubung keadaan kebersihan premis berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati aduan itu berasas, dengan beberapa ketidakpatuhan serius dikesan termasuk lantai, dinding dan peralatan yang kotor kehadiran lalat serta penemuan najis tikus di dalam premis.
"Susulan itu, premis berkenaan diarahkan tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, berkuat kuasa pada 26 Oktober lalu," kata kenyataan itu.










