KUCHING: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat, Datuk Seri Fatimah Abdullah, bersedia mempertahankan kawasan yang diwakilinya sejak lima penggal itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13) Sarawak tidak lama lagi.
Fatimah, 69, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, berkata walaupun beliau pernah menyuarakan hasrat untuk bersara atas faktor usia, sokongan serta permintaan jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), ketua masyarakat dan penduduk setempat mengubah fikirannya untuk terus berkhidmat di kawasan itu jika diberi mandat.
"Saya bersedia untuk jika khidmat masih diperlukan dan bersedia berkorban kerana itulah ikrar kami dalam PBB," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Kumarasan Muniandi, di Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, hari ini.








