Kuala Lumpur: Cabaran sebenar Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan harga minyak dunia bukan terletak pada unjuran harga minyak mentah Brent, sebaliknya keupayaan mengurus subsidi bahan api dan memastikan ketahanan ekonomi negara.
Pensyarah Pembangunan Ekonomi Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Tan Peck Leong berkata, unjuran harga Brent antara AS$80 hingga AS$95 setong pada 2027 bukan sesuatu yang mustahil, namun ia perlu dilihat sebagai anggaran dan bukannya kepastian.
Katanya, harga minyak dunia sentiasa dipengaruhi perkembangan geopolitik, khususnya di Asia Barat, keadaan ekonomi global serta keseimbangan antara penawaran dan permintaan.









