GEORGE TOWN – Seorang lelaki maut selepas kereta Toyota Vios yang dia pandu dipercayai terbabas dengan sendiri dalam kejadian di Straits Quay, Tanjung Tokong, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan tersepit di ruangan hadapan pemandu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.35 pagi.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal tiba di lokasi kemalangan kira-kira lima minit kemudian.









