KESUNGGUHAN kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memartabatkan golongan akademia sebagai penggerak pembangunan negara dapat dilihat melalui penganjuran Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-17 (AAN17) di Klang, baru-baru ini.
Di bawah kepemimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pengiktirafan ini memperlihatkan kekuatan sesebuah negara bukan hanya bergantung pada kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi turut ditentukan kehebatan ilmuwan membentuk pemikiran, menghasilkan pengetahuan dan membimbing masyarakat.
Dalam ucapannya, Zambry mengetengahkan gagasan penting mengenai peranan ahli akademia sebagai sarjana awam atau public academics. Beliau menegaskan universiti tidak lagi boleh berfungsi sebagai menara gading terpisah daripada masyarakat.










