KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 8.5 peratus kepada RM447 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding suku sama tahun lalu.

Peningkatan itu disokong pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 3.6 peratus kepada RM1.14 bilion, manakala hasil perkhidmatan meningkat 1.1 peratus kepada RM2.27 bilion.

Syarikat telekomunikasi itu turut merekodkan aliran tunai bebas operasi sebanyak RM884 juta, manakala perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM235 juta bagi tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, Lembaga Pengarah Maxis mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4.5 sen sesaham berdasarkan prestasi kewangan dan penjanaan tunai syarikat yang stabil.