PETALING JAYA: Juara Terbuka Perancis, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan momentum kemenangan dan menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Yeosu, Korea Selatan, hari ini.

Pasangan No. 9 dunia itu menewaskan beregu muda Jepun, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa 21-14, 26-24 dalam masa 36 minit pada suku akhir di Stadium Jinnnam.

Kejayaan yang diukir beregu No. 3 Malaysia itu bakal menemukan mereka dengan pasangan handalan tuan rumah yang menghuni ranking No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di separuh akhir.

Berdasarkan rekod pertemuan, Wei Chong-Kai Wun tidak mempunyai pencapaian yang baik ke atas Won Ho-Seung Jae selepas tidak pernah menang dalam kesemua enam perlawanan sebelum ini.