PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1,224 orang daripada 352 keluarga setakat pukul 10.30 pagi ini berbanding 4,504 orang yang direkodkan di Selangor dan Perak petang semalam.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 13 buah pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Sarawak.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan ketara kepada 813 orang daripada 229 keluarga berbanding 4,234 orang petang semalam.
Sebanyak sembilan PPS masih beroperasi di lima daerah iaitu Klang, Kuala Selangor, Shah Alam, Gombak dan Sabak Bernam.









