Georgetown: Polis selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan kes serangan domestik membabitkan isteri seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang dan sudah menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim yang mengesahkan perkembangan itu berkata kertas siasatan itu diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut serta arahan seterusnya.
"Kertas siasatan itu kini berada di tangan TPR," katanya ringkas ketika dihubungi.
Awal bulan ini, dilaporkan polis sudah merakam keterangan empat individu, termasuk seorang ADUN Pulau Pinang dan isterinya, berhubung dakwaan kes serangan domestik membabitkan pasangan berkenaan.









