KOTA TINGGI: Berkat mempertahankan resipi keluarga sejak 19 tahun lalu, apam balik Jalan Mawai di sini terus menjadi buruan pelanggan dari serata daerah, malah perisa asli masih menjadi pilihan utama pelanggan kerana kesegaran bahan yang digunakan.

Isteri pemilik premis, Nelta Efrida Zulfadhli, 37, berkata semua bahan disediakan sendiri di premis setiap hari, bermula dengan bancuhan tepung, selain inti jagung yang 'segar' iaitu bukannya menggunakan bahan dalam tin.

Katanya, apam balik perisa asli itu dijual pada harga RM4, meskipun kos bahan mentah semakin meningkat.

"Kita pernah naikkan harga, tetapi kadarnya adalah bersesuaian kerana masih fikirkan pelanggan.

"Lagipun kuantiti yang kita jual banyak, jadi margin keuntungan masih ada dan kita belum merancang untuk naikkan harga lagi," katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.