WASHINGTON: Gangguan komunikasi yang menyebabkan ribuan penerbangan di Amerika Syarikat (AS) dihentikan selama beberapa jam mendorong pentadbiran Donald Trump meningkatkan permohonan peruntukan bagi menaik taraf sistem kawalan trafik udara kepada AS$50 bilion (RM204 bilion).

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, menyalahkan Kongres kerana gagal menyediakan peruntukan bagi membangunkan sistem baharu yang menurutnya mampu mengelakkan gangguan seumpama itu.

Beliau dan Rumah Putih sebelum ini mendesak Kongres meluluskan dana sebanyak AS$30.1 bilion (RM122.5 bilion) bagi menaik taraf lapangan terbang serta infrastruktur kawalan trafik udara negara yang semakin uzur.

“Ini satu kecemasan. Apakah perkara yang lebih penting daripada memastikan sistem kawalan trafik udara berfungsi dengan baik?” kata Duffy.