Georgetown: Sepuluh premis perniagaan tanpa lesen dipercayai dikendalikan warga asing, diarahkan tutup dan peralatan disita dalam dua operasi penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Melalui hantaran berasingan di laman Facebooknya, MBPP memaklumkan operasi yang dijalankan di bawah Ops Tegas itu menyasarkan tujuh premis di sekitar KOMTAR, Air Itam dan Gelugor pada Khamis, diikuti tiga lagi di Batu Ferringhi dan Seri Tanjung Pinang, semalam.
MBPP berkata, operasi memberi tumpuan kepada aktiviti perniagaan tanpa lesen, premis yang diurus atau dikendalikan warga asing dan pelanggaran syarat lesen pihak berkuasa tempatan.
"Pemeriksaan turut mendedahkan pembabitan warga asing di premis ini, termasuk individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah," kata majlis bandaraya itu.










