KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat memperkukuh kedudukannya sebagai pengeluar dan pembekal penyelesaian tenaga bersih di pasaran serantau, sekali gus muncul sebagai destinasi pilihan pelaburan hijau dalam industri tenaga boleh baharu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, usaha mencapai matlamat itu memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, industri, pelabur, institusi akademik dan komuniti setempat.

Katanya, Malaysia mempunyai kedudukan strategik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan terhadap tenaga bersih di rantau ini, disokong kedudukan geografi, asas perindustrian yang kukuh, infrastruktur sedia ada serta keupayaan tenaga boleh baharu yang semakin berkembang.