NEW YORK: Pertempuran berterusan di Yaman memaksa semakin ramai penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, dengan jumlah mereka yang hilang tempat tinggal kini melebihi 340,000 orang, menurut pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Menurut laporan Xinhua, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB mengesahkan lebih daripada 300 orang awam menjadi mangsa sejak awal Ogos, termasuk lebih 70 orang terkorban dan hampir separuh daripada mereka yang terkorban adalah kanak-kanak.

Menurut pejabat itu, jumlah korban sebenar berkemungkinan jauh lebih tinggi memandangkan angka berkenaan hanya membabitkan kes yang berjaya disahkan oleh PBB.

Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) memaklumkan dua pertiga daripada 340,000 penduduk kehilangan tempat tinggal berasal dari wilayah Taiz.