SHAH ALAM – Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membabitkan deposit skim pelaburan Dinar Dirham tanpa lesen sembilan tahun lalu.
Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Datuk Muhd. Azrainuddin Zainal, 45 dan isterinya Datin Nur Ezdiani Baharoddin, 44, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan masing-masing dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut dua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa telah menyetuju terima deposit daripada orang awam melalui skim pelaburan Dinar Dirham yang melibatkan pembelian dan pengendalian DinarCoin (DNC), tanpa suatu lesen yang diberikan di bawah seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.








