PUTRAJAYA – Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 akan mengemukakan sekurang-kurangnya 10 agenda utama hasil resolusi festival itu untuk dipertimbangkan di peringkat Jemaah Menteri.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, resolusi berkenaan akan dihimpunkan dalam Risalah Idea Malaysia selepas berlangsungnya festival selama tiga hari menerusi pendekatan tiga fasa iaitu Explore, Challenge dan Translate.
Beliau berkata, komitmen itu turut mendapat sokongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu setiap cadangan dikemukakan dalam festival berkenaan dibawa untuk pertimbangan mesyuarat Kabinet.
“FOI 2026 menjadi medan mempertemukan dunia akademik, industri, pembuat dasar dan masyarakat bagi memastikan hasil penyelidikan tidak terhenti di makmal, sebaliknya diterjemahkan kepada inovasi serta penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.










