KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai ketegasan dan pendirian konsisten Perancis dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza dan Palestin dengan menyifatkannya sebagai 'suara hati nurani' masyarakat antarabangsa.

Anwar berkata, ketegasan negara Eropah itu jelas dilihat menerusi keprihatinan kemanusiaan yang sebahagian besarnya diabaikan kuasa dunia lain kerana dianggap terlalu sensitif.

"Malaysia turut mengecam keras sikap segelintir pihak yang memilih dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan selain pendekatan 'pilih kasih' sebagai satu bentuk perbuatan hipokrit di pentas global.

"Justeru itu, mesej kemanusiaan yang konsisten daripada kerajaan Perancis amat dihargai dalam usaha mencari keadilan sejagat buat rakyat Palestin," katanya.