DUNGUN: Seekor beruang matahari jantan seberat kira-kira 70 kilogram (kg) ditangkap selepas ditemukan berkeliaran sebelum berlindung serta tidur di bawah rumah penduduk ketika hujan, di Kampung Rantau Abang, di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung, berkata pihaknya menerima maklumat daripada penduduk berhubung kehadiran haiwan liar itu pada jam 8.30 malam.
Beliau berkata, enam anggota Pejabat PERHILITAN Dungun digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sebelum mendapati beruang itu masih berada di bawah rumah dalam keadaan sedang tidur.
"Operasi menangkap dan memindahkan haiwan berkenaan kemudian dijalankan sebelum pemeriksaan mendapati beruang itu tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan fizikal yang sihat," katanya dalam kenyataan hari ini.









