KUALA LUMPUR – Keputusan mengurangkan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 perlu dijelaskan secara lebih terperinci bagi mengelakkan polemik perkauman serta persepsi wujudnya layanan istimewa.Seorang penyokong kerajaan, Norman Daud berkata, walaupun keputusan itu mempunyai asas teknikal dari sudut pengurusan tanah, pelaksanaannya perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.Menurutnya, keputusan yang dibuat tanpa penerangan mencukupi boleh menjadi isu politik yang memberi kesan kepada kerajaan dan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).Beliau berkata, dalam pengurusan tanah, kadar premium sememangnya bergantung kepada status dan kegunaan tanah, termasuk apabila berlaku perubahan syarat daripada komersial kepada institusi bukan berasaskan keuntungan."Apabila tanah ditukar syarat kepada kegunaan institusi bukan berasaskan keuntungan seperti NGO dan diwartakan sebagai tapak warisan, pemilik tidak lagi mempunyai kebebasan untuk membangunkannya bagi tujuan komersial seperti pembinaan kondominium atau menara pejabat."Justeru, penilaian semula premium kepada kadar nominal mempunyai asas teknikal yang sah dan diputuskan oleh Jawatankuasa Tanah," katanya yang dipetik menerusi Facebook beliau.Norman berkata, KLSCAH juga sudah diwartakan sebagai bangunan warisan sejak 2007, justeru mengenakan premium jutaan ringgit kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan boleh menyukarkan usaha memelihara serta menyelenggara bangunan bersejarah berkenaan.Bagaimanapun, katanya, pengurangan daripada RM4.67 juta kepada RM1,000, iaitu lebih 99.9 peratus, terlalu drastik pada pandangan masyarakat umum sekiranya tidak disertakan penjelasan menyeluruh."Tanpa penerangan teknikal yang jelas dari awal, keputusan itu mudah dilihat sebagai layanan istimewa atau pilih kasih, lebih-lebih lagi apabila ia dibuat sejurus selepas pertukaran menteri yang memegang portfolio Wilayah Persekutuan," katanya.Dalam pada itu, beliau berpandangan tindakan sesetengah pemimpin DAP yang menurutnya kurang mengambil kira sensitiviti masyarakat Melayu boleh memberi kesan kepada parti komponen PH lain, khususnya PKR dan Amanah.Katanya, kedua-dua parti itu berdepan cabaran untuk menjelaskan keputusan kerajaan kepada masyarakat Melayu, termasuk perkara yang mungkin bukan dicetuskan oleh mereka sendiri.Beliau turut mengaitkan keadaan itu dengan keputusan tiga pilihan raya negeri (PRN) terbaharu yang menurutnya memperlihatkan penolakan pengundi Melayu terhadap PKR dan Amanah."DAP tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada usaha menjaga sokongan pengundi teras mereka tanpa mengambil kira kesannya kepada parti gabungan lain."Keadaan ini perlu diperbetulkan kerana usaha membina sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni memerlukan toleransi serta kepekaan semua pihak," katanya.Sehubungan itu, Norman meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil perhatian terhadap isu berkenaan dan memastika