KUANTAN: Malaysia perlu mempertimbangkan kajian menyeluruh terhadap kebolehlaksanaan mekanisme diyat atau ganti rugi dalam sistem keadilan jenayah negara.
Ia sebagai sebahagian usaha memperkukuh reformasi undang-undang dan mewujudkan keseimbangan antara hak mangsa serta peluang pemulihan pesalah.
Pensyarah Kanan Syariah (Kehakiman Islam), Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Hasiah Mat Salleh berkata, kajian tersebut perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pakar perundangan Islam, pengamal undang-undang jenayah, institusi kehakiman, pembuat dasar dan wakil keluarga mangsa.
Menurut beliau, tujuan utama kajian itu bukan untuk menggantikan sistem perundangan sedia ada, sebaliknya menilai sejauh mana prinsip diyat mampu menyumbang kepada pelaksanaan keadilan yang lebih menyeluruh dan berteraskan pemulihan.









