SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM41.72 juta daripada lima syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Jumlah berkenaan menyaksikan Lembaga Tabung Haji (TH) tampil sebagai penyumbang zakat korporat terbesar tahun ini dengan bayaran RM27.01 juta.

TH diwakili Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, yang menyerahkan bayaran zakat perniagaan berkenaan kepada Zakat Selangor.

Turut menunaikan zakat ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM5.60 juta, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Ahmad.

Kumpulan Kewangan Islam Maybank pula menyerahkan RM4.22 juta menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbankan Islam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Mohamad Yasin Abdullah.