DUA gol dalam tempoh singkat sudah cukup untuk meletakkan penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Daniesh Amirruddin dalam radar pemilik kelab itu, Tunku Mahkota Ismail.Pemain berusia 20 tahun itu mencuri tumpuan ketika membantu JDT membelasah kelab Kemboja, PKR Svay Rieng 6-0 dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada malam Khamis.Tunku Ismail turut memberikan bayangan mengenai potensi Daniesh menerusi hantaran ringkas di laman story media sosial baginda."Masa depan. 10 minit dua gol".Daniesh membalas kepercayaan yang diberikan apabila meledak dua gol selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, termasuk jaringan pertama hanya seminit selepas memasuki padang.Selain dua gol Daniesh, JDT turut memperoleh jaringan menerusi Arif Aiman Hanapi, Marcos Guilherme, Kevin Medina dan Shahab Zahedi.Ketajamannya di hadapan gawang itu bukan sesuatu yang baharu apabila pemain kelahiran Merlimau, Melaka itu turut meledak dua gol ketika membuat penampilan sulung bersama skuad utama JDT dalam kemenangan 10-0 ke atas UM Damansara pada aksi Piala FA musim 2026/27, 8 September lalu.Daniesh yang menyertai JDT pada 2024 kian menyerlah sebagai prospek muda yang mampu menambah pilihan jentera serangan Harimau Selatan.Perkembangan itu mengingatkan kepada kemunculan beberapa pemain yang pernah mencipta nama bersama JDT, termasuk Safiq Rahim, Safawi Rasid yang dikenali sebagai 'Superwi' dan Arif Aiman.Dengan permulaan memberangsangkan itu, Daniesh berpeluang mengikut jejak mereka sekiranya mampu mengekalkan konsistensi dan terus memanfaatkan peluang bersama skuad utama JDT.