Sungai Petani: Saingan Zon Utara Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 terus panas apabila beberapa regu mempamerkan aksi bertenaga pada perlawanan kedua, termasuk SSTMI B yang meneruskan momentum positif selepas menewaskan Pabera Vipers dalam saingan Kumpulan K.
SSTMI B menampilkan permainan kemas untuk mengatasi Pabera Vipers 15-13, 15-12, sekali gus mencatat satu lagi kemenangan selepas turut mengatasi Alfa Cafe MIBJ D dalam aksi pertama.
Namun, Alfa Cafe MIBJ D bangkit daripada kekalahan terdahulu apabila menewaskan Jelutong Pantai D 15-4, 15-7 untuk kembali mencabar dalam kumpulan sama.
Dalam Kumpulan A, Young Turtles A turut mencatat kemenangan selepas mengatasi RG Takraw Club menerusi pertarungan tiga set, 17-14, 11-15, 15-5.









