BERA – Satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi melindungi Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) yang ada di negara ini bagi menentukan arah tuju, melindungi dan memulihara kawasan berkenaan.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, jawatankuasa khas itu perlu dianggotai pakar-pakar berkaitan untuk menasihat dan menilai kelestarian tapak Ramsar termasuk di Tasik Bera seluas 31,255 hektar.
“Sebelum ini ia dipantau oleh Perhilitan bersama pelbagai agensi lain dan mereka cuma perlu nasihat pakar.
“Rancangan Kawasan Khas Tasik Bera sedia ada menggariskan hala tuju pembangunan fizikal, pemuliharaan dan pengurusan guna tanah selain menumpukan kepada pembangunan eko-pelancongan mampan, pengurusan sumber air dan memelihara budaya Orang Asli Semelai,” katanya.









