PEKAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan kebimbangan terhadap gejala sosial dalam kalangan generasi muda, termasuk penyalahgunaan dadah, budaya buli, perjudian digital serta pergaulan yang melampaui batas.

Baginda bertitah, keadaan itu lebih mendukacitakan apabila segelintir anak muda mudah terpengaruh dengan budaya kebencian serta penghinaan terhadap agama dan institusi, seolah-olah keberanian diukur melalui kelantangan mencaci dan memperlekehkan orang lain.

Baginda menegaskan mahasiswa seharusnya menjadi suara kebijaksanaan, bukannya menyemarakkan kebencian.

"Beranilah menegur tetapi beradab ketika berbicara, beranilah berbeza pandangan tetapi jangan hilang pertimbangan," titah baginda pada Majlis Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), di sini hari ini.