SHAH ALAM: Pelbagai dadah bernilai RM16.2 juta dirampas di sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang, dekat sini yang dipercayai dijadikan sebagai stor.

Kegiatan terbongkar susulan penahanan seorang lelaki yang bekerja secara sambilan di rumah ibadat itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata rumah ibadat itu antara empat lokasi diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dalam lima serbuan berasingan sekitar negeri itu membabitkan empat sindiket berbeza bermula 13 hingga 19 Oktober lalu.

Menurutnya, pelbagai jenis dadah termasuk bunga ganja, ekstasi, ketamin, heroin dirampas menerusi lima serbuan itu.