SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan terlepas hukuman gantung apabila pertuduhan membunuh dua remaja yang maut dirempuhnya ketika memandu melawan arus di Lebuh Raya Persekutuan pada 2021 dipinda kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh yang meminda pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(b) kanun sama di akhir pendakwaan hari ini.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap tertuduh, K. Devaaswin, 29, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat.

Bagaimanapun, hakim memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 17 September 2021.