Kuala Lumpur: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang meneliti penambahbaikan mekanisme pendahuluan nafkah menerusi penyediaan cadangan pindaan terhadap undang-undang tatacara mal Mahkamah Syariah yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Marhamah Rosli, berkata cadangan dengan kerjasama Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan itu memberi tumpuan kepada isu ketidakpatuhan terhadap perintah pembayaran nafkah yang telah ditetapkan Mahkamah Syariah.

"Ia termasuk meneliti ruang penambahbaikan peruntukan undang-undang dan prosedur penguatkuasaan sedia ada supaya tindakan terhadap pihak yang sengaja ingkar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.