PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh terus bermimpi untuk melihat bola sepak negara kembali disegani jika masih gagal memenangi hati peminat yang sememangnya layak dilabel sebagai ‘tulang belakang’.
Dalam keadaan kepercayaan terhadap badan induk itu perlu dipulihkan, usaha membina semula bola sepak Malaysia harus bermula dengan sesuatu yang lebih asas, bukan sekadar memberikan kemenangan.
Secara dasarnya, peminat adalah sebahagian daripada ekosistem bola sepak yang mampu menentukan nilai komersial untuk mempengaruhi penaja ataupun rakan strategik.
FAM perlu memahami bahawa usaha ‘membeli jiwa’ peminat bukan bermaksud hanya menerusi kemenangan Harimau Malaya, memancing sokongan melalui janji manis atau kempen bermusim.









