SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menjadikan Malaysia sebagai negara transit bagi menyeludup cip kecerdasan buatan (AI) canggih bernilai RM49.5 juta ke sebuah lagi negara Asia.

Cubaan itu terbongkar selepas JKDM merampas 30 unit pelayan (server) yang mengandungi cip AI canggih di sebuah gudang dalam Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 15 Oktober lalu.

Pengarah JKDM KLIA, Aspalila AG Tuah, berkata pelayan berkenaan dibawa masuk ke Malaysia dari sebuah negara Asia yang tidak didedahkan sebelum dirancang untuk dieksport semula ke sebuah lagi negara di Asia.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai cuba mengelak dikesan dengan mengisytiharkan pelayan berkenaan sebagai komponen elektronik biasa.