SHAH ALAM: Semua sekolah di Selangor akan beroperasi seperti biasa esok, menurut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

JPN Selangor menerusi kenyataan hari ini turut meminta semua pihak supaya terus mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah susulan keadaan jerebu.

"Murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi mereka yang sensitif terhadap keadaan jerebu.

"Pihak sekolah, ibu bapa dan penjaga juga disarankan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan kualiti udara dan mematuhi arahan serta langkah berjaga-jaga yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.