KUALA LUMPUR: Hampir 100 kakitangan Media Mulia Sdn Bhd yang merupakan penerbit Utusan Malaysia dan Kosmo!, akan diletakkan dalam Program Cuti Berbayar.

Ia sebagai langkah rasionalisasi oleh Media Mulia yang sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan perniagaan dalam menghadapi cabaran industri media.

Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd Wahid Idris, menjelaskan bahawa langkah terbabit diambil susulan perubahan landskap industri media yang lebih memberi tumpuan kepada platform digital.

Pada masa sama, beliau berkata, syarikat tetap komited meneruskan penerbitan akhbar bercetak untuk pembaca setia.