Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan tahap buruk bagi beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu, dengan hujan lebat berterusan dijangka sehingga Rabu.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, amaran hujan berterusan tahap buruk di Kelantan membabitkan lima daerah iaitu Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Di Terengganu, amaran sama meliputi Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah dalam tempoh sama.