DUNGUN – Seorang lelaki berusia 29 tahun yang ditangkap penduduk kampung selepas melakukan penipuan bersama isterinya yang sarat hamil untuk memperdaya seorang wanita warga emas semalam ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret Ng Yan Ni di Mahkamah Majistret Dungun, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, isteri suspek yang juga berusia 29 tahun bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk melahirkan anak pada pukul 7.43 pagi tadi.
“Terdahulu, mereka telah ditangkap sekumpulan penduduk kampung sewaktu dikatakan mahu mengambil wang tunai RM50,000 di rumah seorang wanita berusia 62 tahun di Felda Kerteh 3, di sini, pada pukul 4 petang semalam.








