DUNGUN – Pendapatan 69 pekebun kelapa Matag di Kampung Dendang, di sini, terjejas teruk sejak awal Januari lalu apabila hasil tanaman mereka semakin sukar dipasarkan berikutan persaingan dengan kelapa import dari negara jiran.
Ketua Projek Berkelompok Kelapa Matag Kampung Dendang, Mohamed Zakaria Awang, 66, berkata, kebanyakan pemborong kelapa dan peniaga santan kini memilih kelapa import yang dijual pada harga lebih murah berbanding hasil tanaman tempatan.
“Sebelum ini kami menjual kelapa kepada pemborong di sekitar daerah ini dan Kemaman, namun sejak awal tahun lalu, mereka tidak lagi membeli kelapa daripada kami kerana harga kelapa import jauh lebih rendah.
“Sebelum ini, kami mampu menjual lebih 500 biji kelapa tua dalam tempoh sebulan, tetapi kini 100 biji sebulan pun sukar untuk dijual,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Dendang, di sini semalam.









