PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di Perak menunjukkan sedikit pemulihan manakala di Selangor menunjukkan peningkatan, menjadikan keseluruhan sebanyak 1,002 orang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat petang semalam.

Di Hilir Perak, jumlah mangsa mencatatkan sedikit penurunan kepada 419 orang daripada 124 keluarga berbanding 439 orang daripada 130 keluarga pada sebelah pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan sebanyak 284 orang daripada 85 keluarga ditempatkan di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) manakala 135 mangsa daripada 39 keluarga berlindung di Dewan MPTI Langkap.

Sementara itu, sebanyak 26 mangsa kejadian ribut telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing tengah hari tadi susulan penutupan PPS Dewan Komuniti Manjung.