BESUT: Bermula kerana tidak mampu membeli sangkar burung diminati, seorang pemuda kini menjadikan kemahiran menghasilkan sangkar bercorak unik sebagai sumber pendapatan sampingan.
Mohd. Zuraidi Ibrahim, 34, dari Kampung Gong Manok, di sini berkata, dia mula menghasilkan sangkar sendiri sejak berusia 18 tahun menggunakan kayu terpakai.
Katanya, hasil kerja tangan itu pada awalnya sekadar untuk kegunaan sendiri sebelum mendapat perhatian orang ramai sehingga menerima tempahan pelanggan.
“Pada mulanya saya cuba buat sendiri kerana tidak mampu membeli sangkar yang diminati. Saya tertarik dengan bentuknya yang comel dan unik walaupun bukan terlalu meminati aktiviti memelihara burung.









